Produk SimplySiti sentiasa mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM sebelum sebarang produk kami diberi sesuatu kelulusan Halal. Sebenarnya, produk-produk SimplySiti serta berus yang terdapat di dalamnya yang telah mendapat pengesahan Halal tidak terbabit dengan tuduhan yang dibangkitkan tersebut. Pihak kami selama ini berkerjasama rapat dengan pihak JAKIM dalam setiap proses yang harus dipatuhi sebelum sesuatu produk itu dihasilkan dan dipasarkan untuk kegunaan orang awam. Sokongan dan bantuan yang kami terima daripada pihak JAKIM amat kami hargai dan kami banyak belajar daripada mereka kerana sebagai perniagaan yang berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk semua, pihak JAKIM adalah rakan dan pihak yang sangat komited dan paling berwibawa dalam menghulurkan khidmat nasihat dan bantuan kepada pengusaha-pengusaha seperti kami terutama sekali dalam proses penghasilan dan pengesahan kualiti sesuatu produk secara amnya, dan untuk piawaian Halal secara khususnya. Sebab itu proses penghasilan sesuatu produk yang ingin mendapat pengesahan Halal daripada Jakim perlu melalui proses pemeriksaan dan siasatan yang terperinci bukan hanya bagi setiap jenis bahan yang terbabit di dalam pembuatan produk, malahan premis, setiap prosesnya termasuk pengangkutan, simpanan, pengeluaran, para pekerja dan segala-galanya perlu mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM.
Apa yang berlaku di dalam konteks seperti yang tertera di di dalam blog tersebut adalah tidak benar. Bulu yang dilaporkan di dalam lampiran tersebut BUKANLAH bulu berus yang terdapat di dalam produk SimplySiti tetapi berus yang terlibat di dalam kerja pembersihan di kawasan kilang dan kerja-kerja menyamak dan penyucian menurut syarak telahpun dilakukan bagi memastikan tidak ada apa-apa langsung yang tidak suci terdapat di dalam premis kilang tersebut lagi sebelum proses pembuatan produk dilakukan di kilang tersebut.
Oleh itu, kami dengan ini menjamin bahawa produk-produk SimplySiti yang telahpun mendapat pengesahan Halal JAKIM adalah benar & berus yang terdapat di dalam produk-produk kosmetik yang kini terdapat di pasaran juga adalah mematuhi syarat piawaian Halal daripada JAKIM. Bukan itu sahaja, kami juga rasa terharu kerana kerjasama dan follow up dan kami terima daripada pihak JAKIM juga adalah pantas dan efisyen untuk kami mudah membuat apa-apa tindakan susulan dengan efektif.
Memang sudah cita-cita dan niat Siti adalah untuk memastikan produk SimplySiti adalah halal, suci dan berkualiti. Hanya yang terbaik untuk semua para pengguna maka Siti sanggup buat apa sahaja dan akan terus berusaha memperbaiki mana-mana kekurangan walaupun proses atau usaha itu mengambil masa dan kos yang lebih sedikit daripada proses yang biasa. Sekiranya sesuatu produk itu diragui kesuciannya, kami tidak akan menjual malahan akan menarik balik dari pasaran.
SimplySiti akan turut mendapatkan kenyataan daripada JAKIM supaya hal ini tidak lagi dipanjangkan sehingga meragukan pengguna SimplySiti. Kami harap pihak JAKIM akan dapat menerangkan status halal SimplySiti dalam kenyataan akhbar mereka nanti. Dan memandangkan isu ini timbul secara mengejut dan kebetulan jatuh pada hujung minggu, pihak SimplySiti akan turut berjumpa dengan pihak JAKIM secepat mungkin untuk berbincang tentang hal ini. Kami mohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi awal kerana kami sangat prihatin dan sentiasa menitikberatkan kualiti dan kesucian di dalam produk kami.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin
Presiden
SimplySiti Sdn Bhd
6 Ogos 2011
No comments:
Post a Comment