Ads

Ads

Monday, July 30, 2012

Semua Ada Kisah Silam - Erra Fazira

 
DIA keliru, benarkah lelaki dipanggil Along itu bapanya? Akalnya menolak kerana sedari kecil ibu memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia, namun entah mengapa seakan-akan ada tarikan magnetik antaranya dengan lelaki itu yang juga jiran neneknya yang sering dilihat setiap kali pulang ke kampung.
Hinggalah satu hari, tiba-tibanya ibu datang ke sekolah untuk membawanya pulang ke kampung. Kata ibu, bapa meninggal dunia. Terpinga-pinga si kecil berusia lapan tahun itu.
Bukankah bapanya sudah lama meninggal dunia? Siapa pula gerangan yang dimaksudkan ibu? Rasa keliru yang meluap-luap direlung hatinya semakin memuncak.

Tatkala tiba di perkarangan rumah yang sering menjadi tumpuannya setiap kali pulang ke kampung, ramai menyuruhnya menatap wajah si bapa buat kali terakhir. 
Dia kaku tidak bergerak, erat memeluk tiang serambi. Mindanya kosong dan kabur. Jenazah itu adalah lelaki yang sering dikatakan bapanya selama ini!
Kisah ini bukan cerita dalam drama atau filem, tetapi itulah sebahagian perjalanan hidup primadona filem alaf baru, Erra Fazira atau nama sebenar, Fazira Wan Chek, 38. Memori sedih itu tidak pernah padam, sebaliknya terkunci kemas di sanubari hingga tiada siapa mampu menebaknya.

Bagaimanapun, baru-baru ini Erra menyerahkan ‘kunci’ kepada Astro untuk berkongsi cerita itu dalam komersial raya bertemakan ‘Jalinan Kasih di Aidilfitri’ yang akan ke udara secara eksklusif pada minggu terakhir Ramadan.

Buat kali pertama, pelakon, penyanyi dan bekas Ratu Cantik Malaysia ini mendedahkan siapa bapanya dan apa yang berlaku dalam hubungan mereka. Ia sekali gus menjawab teka-teki ramai yang ingin mengetahui identiti bapanya selama ini.

Iklan durasi 60 saat itu menjalani penggambaran di Tanjung Karang, Selangor pada 19 Julai, bermula jam 5 pagi hingga senja membabitkan 40 kru diketuai Pengarah Kreatif Rangkaian Astro, Abib Mirza Hussein, tiga pelakon utama iaitu Erra ketika kecil, Nurul Balqish, ibu, Riza Alwi serta 27 watak tambahan.

Ketika ditemui di lokasi penggambaran iklan itu, Erra yang dilahirkan di Sungai Choh, Rawang pada 9 Februari 1974, menafikan selama ini merahsiakan identiti bapanya, cuma dia merasakan perkara itu tidak perlu dikongsi setiap kali ditanya media.

Pun begitu, hati anak tunggal pasangan Wan Chek dan Azizah Zaik ini terbuka untuk bercerita apabila tema yang diperkenalkan Astro bersesuaian dan boleh dijadikan pengajaran bersama.

“Bagi saya, ia bukan perkara terlalu sensitif, sebab itu saya boleh kongsi.

Lagipun, ia disampaikan dengan menggunakan saluran betul. Saya cuma menceritakan kisah zaman kanak-kanak yang belum pernah dikongsi dengan masyarakat.

“Semua orang ada sejarah masing-masing dan ia bukan berniat memburuk atau menyalahkan mana-mana pihak, malah sebelum penggambaran, saya ingatkan pihak Astro supaya penyampaiannya nanti biarlah dalam bentuk membina.

“Apa yang ingin saya sampaikan dalam iklan ini, ikatan tidak akan putus walaupun berpisah mati. Seperti saya katakan tadi, ia bukan salah sesiapa tetapi keadaan yang menjadikannya begitu.

“Ia mengi­sahkan seorang kanak-kanak yang dambakan kasih sayang seorang bapa tetapi hasrat itu tidak kesampaian disebabkan keadaan. Bagaimanapun, hubungan anak dan bapa tidak akan putus. Ia ikatan indah anugerah Ilahi.

“Buatlah apa saja, satu hari pasti si anak tahu siapa bapanya. Diharap secebis kisah ini boleh menyedarkan mereka yang ada kasih sayang depan mata tetapi tidak menghargainya,” katanya sambil menghela nafas panjang.


Belum tentu lokasi beraya

SAMA seperti dua tahun lalu, Erra Fazira akan berkampung di Istana Budaya untuk menjalani latihan pementasan Tun Siti Hasmah, sepanjang Ramadan ini.

Selain itu, ibu kepada Engku Aleesya yang kini berusia tiga tahun, rancak menguruskan perniagaan hamper Ramadan dan Syawal serta sibuk di lokasi penggambaran drama Mana Hilangnya Juwita.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Erra berkata, dia dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin belum memutuskan di mana mereka akan beraya, namun persiapan mula dilakukan menjelang Ramadan.

“Saya jenis buat persiapan saat akhir. Sejak dulu lagi saya suka melakukan persiapan penghujung Ramadan kerana lebih terasa nikmatnya. Pun begitu, tidaklah semua saat akhir, ada juga yang saya beli awal seperti baju anak.

“Kalau bercakap soal persiapan, fokus saya lebih kepada Aleesya. Setakat ini saya ada tiga pasang baju raya untuknya dan hujung Ramadan nanti, saya akan beli lagi. Tahun lalu dia ada 10 baju raya.

“Itulah akibatnya bila ada ibu yang suka membeli-belah. Pantang nampak yang cantik, mesti gatal tangan nak beli. Bila dah ada banyak baju raya, apa lagi asyik tukar sebab kalau boleh nak bagi dia pakai semua baju.

“Untuk diri sendiri, memadai dua atau tiga baju. Biasanya pada hari raya, saya akan tampil ringkas dan santai. Baju kurung pilihan saya daripada jenis kain kapas kerana ia sesuai dengan cuaca panas terik dan suasana kampung. Baju glamor saya cuma pakai apabila bekerja,” kata Erra.

No comments:

Post a Comment