Ads

Ads

Monday, September 12, 2011

Cinta Elysa



Saluran TV nombor satu negara, TV3 menerusi slot Lestary sekali lagi membawakan drama hebat untuk tontonan penonton setianya. Drama bersiri Cinta Elysa menyaksikan gandingan pertama Fasha Sandha dan Johan A’sari atau lebih dikenali sebagai Botak dalam drama Juvana yang pernah disiarkan pada slot yang sama suatu ketika dahulu.

Drama bersiri 13 episod terbitan Suhan Movies Trading ini diarahkan oleh sutradara Along Kamarudin dengan skrip hasil tulisan Sharifah Abu Salem turut membariskan pelakon-pelakon handalan lain seperti Dato’ Jalaluddin Hassan, Zila Bakarin, Addy Ashraf, Naim Daniel, Zaefrul Nordin dan Ika Nabila.

Cinta Elysa mengisahkan Aril (Johan As’ari) seorang yatim piatu yang membesar menjadi pemuda bermasalah. Selepas disisihkan keluarga, bapa saudaranya, Jasman (Dato’ Jalaluddin Hassan) telah membawanya pulang sambil mengharapkan Aril berubah. Isteri Jasman, Yasmin (Zila Bakarin) serta anak-anaknya, Khairul dan Imran sangat bencikan Aril dan sering melemparkan kata-kata nista kepadanya. Hanya anak sulungnya, Elysa (Fasha Sandha) yang masih menegur Aril.

Aril didaftarkan di kolej yang sama dengan Elysa dan bertanggungjawab menjaganya namun Aril menganggap Elysa sebagai beban. Selepas Jasman meninggal dunia, Aril diamanahkan pula untuk menjaga keluarga kerana anak-anaknya masih bersekolah. Aril cuba mengikut amanat tetapi kebencian Yasmin menjadikan tanggungjawabnya amat sukar dilaksanakan. Hanya cinta pada sepupunya Elysa menjadi kekuatan untuk tidak meninggalkan rumah itu.

Akhirnya, apabila dihalau oleh Yasmin, Aril nekad membawa Elysa dan kembali menjalani kehidupan sebagai samseng. Aril dan Elysa menyamar sebagai pasangan suami isteri dan mendapat pertolongan daripada Mak Jah. Namun, rahsia mereka terbongkar. Apakah yang akan berlaku selepas itu?

Bagi peminat slot Lestary, drama bersiri romantis Cinta Elysa ini akan disiarkan mulai 13 September 2011, setiap hari Selasa jam 9.00malam.