Ads

Ads

Friday, March 16, 2012

Bunga-Bunga Syurga


Drama bersiri 13 episod ini, menjalani penggambaran bermula sejak 30 Januari lalu membabitkan lokasi sekitar Gombak dan berakhir pada 7 Mac lalu. Jet Lee yang sebelum ini menghasilkan siri popular seperti Nora Elena mengakui, bekerja dengan muka baru seperti Johan As'ari dan Wawa Zainal memberi satu cabaran buatnya.

Namun menurutnya, kerjasama dan komitmen tinggi yang diberikan oleh Johan dan Wawa serta semua pelakon terlibat, memudahkan kerjanya.

"Saya akui satu cabaran bekerja dengan muka baru. Namun tidak sukar membentuk mereka kerana mereka mudah dibawa berbincang dan berjaya melakonkan karakter seperti yang saya mahu. Jika ada masa terluang, saya akan berjumpa mereka dan bercakap mengenai karakter mereka kerana bagi saya apa yang penting, mereka faham apa yang sepatutnya dilakukan," katanya.

Bunga-bunga Syurga turut dijayakan Hilal Azman, Rozita Che Wan, Bea Rameshan, Eyka Farhana, Eira Hazali dan Daniel Hakim, berkisar kepada kehidupan tiga yatim piatu, Emilia (Eyka Farhana), 17, Nadia (Eira Hazali), 13, dan Haziq (Daniel Hakim), 12, tinggal bersama bapa saudara, Azmin (Hilal Azman), selepas ibu bapa mereka, Imran dan Mira mati dibunuh.


Mereka bakal mewarisi harta jutaan ringgit, namun bapa saudara mereka, Azmin dan isterinya, Baidah sanggup mengkhianati amanah tersebut apabila mengambil sebahagian daripada harta anak yatim ini.

Dalam satu pertengkaran, Azmin ditembak Baidah dan menyebabkannya lumpuh. Semasa lumpuh, Azmin sering bermimpi perkara buruk seperti dibakar dalam api neraka. Ini membuatkan Azmin mula insaf dan kembali ke jalan ALLAH SWT.

Kepulangan anak kedua Azmin, Aiman (Johan As’ari) selepas tamat pengajian di Australia memberi sinar harapan buat Emilia, Nadia dan Haziq. Kecewa dengan perbuatan ibunya, Aiman bertindak membawa anak yatim ini keluar dari rumah itu.


Atas bantuan Haji Halim (Datuk Eizlan Yusof), Aiman berjaya meneruskan misinya. Namun Haji Halim pula mahu bermenantukan Aiman untuk anak gadisnya, Shaffiyah (Wawa Zainal). Apabila melihat gambar Shaffiyah, Aiman terkejut kerana gadis itu adalah Sofea, perempuan simpanan bapanya, Azmin. Apakah yang berlaku? Saksikan Bunga-Bunga Syurga di slot Zehra, setiap Jumaat jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment